‘Giant Napoleon’ Dalam Kerajaan Selangor Bukan Satu Rahsia

Posted: 08/04/2010 in Uncategorized

Oleh Al-Kamarol Abd Latif

SHAH ALAM, 3 Ogos – UMNO Selangor sedikit pun tidak terkejut dengan gelaran ‘Giant Napoleon’ yang diberikan kepada Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu kerana dilihat lebih berkuasa daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, YB Shukor Idrus, berkata perkara itu bukan lagi satu rahsia kerana apa jua tindakan yang mahu dilakukan kerajaan negeri perlu mendapat persetujuan dari Dap.

“Sebab itu kita tidak terkejut dengan hanya menggunakan surat sokongan dari Ronnie Liu akan dapat kontrak berjuta ringgit.

“Begitulah betapa berkuasanya Dap. Lihat saja kes penjualan arak di Shah Alam sebelum ini, siapa pun tak boleh halang arahan Ronnie, baik Pas mahupun Menteri Besar sendiri, Tan Sri Khalid Ibrahim,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemelut politik di Selangor apabila Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tee Boon Hock dipecat sebagai ahli Dap selepas dituduh menyalahgunakan kepala surat milik pejabat Liu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor bagi mendapatkan kontrak bernilai RM1 juta untuk kroni dan seorang ahli keluarganya.

Malah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Kim juga diheret ke Jawatankuasa Disiplin Dap ekoran tindakannya menghantar komen ringkas melalui twitter mengenai pemecatan Tee yang mempersoalkan kenapa pesalah sebenar dalam kes itu terlepas.

Berikutan pelbagai kemelut itu Pemuda Barisan Nasional (BN) melabel Ronnie Liu sebagai ‘Giant Napoleon’ Dap kerana lebih berkuasa daripada Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung parti itu.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin, berkata Liu mempunyai lebih kuasa berbanding kedua-dua pemimpin berkenaan berdasarkan surat sokongannya yang mampu menarik kontrak bernilai tinggi.

Shukor yang juga Adun Kuang seterusnya berkata walaupun Menteri Besar adalah dari PKR, namun tanpa sumbangan 13 kerusi Dap, tidak mungkin pakatan pembangkang boleh menubuhkan kerajaan negeri.

“Inilah budi terbesar Dap yang membuatkan mereka begitu berkuasa.

“Siapa Khalid kalau PKR tak dapat sumbangan kerusi dari Dap? Sebab itu apa jua tindakan dan keputusan yang ingin dibuat mesti mendapat lampu hijau dari Dap,” ujarnya. -MediaUMNO

Leave a comment