Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh
Kuala Lumpur, 31 Jan- Kemenangan calon Barisan Nasional, Mohd Azhar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kawasan Tenang serta peningkatan undi kepada BN semalam merupakan satu sokongan moral kepada BN dan UMNO.
Presiden Pertubuhan 4 Justice, Anuar Basiran berkata, kejayaan manis BN ini juga membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berpegang pada janjinya, bahawa calon yang akan ditampilkan oleh BN adalah calon dari akar umbi yang diterima oleh rakyat, selain mereka sudah melihat sendiri sandiwara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pakatan pembangkang gagal dalam menterjemahkan janji manifesto pilihanraya mereka yang yang.
“Dalam masa yang sama, sokongan orang muda yang telah kembali memberikan sokongan kepada BN menunjukkan BN telah berjaya dirakyatkan.
Bilangan tambahan majoriti walaupun tidak mencapai sasaran yang dikehendaki oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi dengan peningkatan ini telah menunjukkan rakyat masih tetap yakin dengan UMNO dan Barisan Nasional selain masih berharap agar pucuk pimpinan parti terus melakukan perubahan yang lebih drastic melalui kerja-kerja yang lebih memasyarakatkan parti,” ujarnya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian Sepang.