KUALA LUMPUR, 10 Feb – Pemuda Barisan Nasional (BN) Selangor akan mengumpul 100,000 tandatangan daripada penduduk negeri itu dalam tempoh terdekat bagi membantah keputusan kerajaan Selangor untuk membiayai kos perundangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda Shuhaimi Shafiei yang berhadapan dengan tuduhan menghasut.
Pengerusinya, Ungku Salleh Ungku Jamal berkata kutipan tandatangan itu akan diserahkan kepada Menteri besar, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim bagi menunjukkan bantahan rakyat terhadap kerajaan negeri yang sewenang-wenagnya menggunakan wang rakyat untuk tujuan berkenaan.
Soal beliau kenapakah kerajaan negeri menanggung kos perundangan tersebut sedangkan banyak lagi penduduk di negeri terbabit yang memerlukan dan bantuan sewajarnya dan tindakan tersebut jelas menunjukkan mereka lebih mengutamakan kroni berbanding rakyat bawahan.
“Kita akan adakan “roadshow” seluruh negeri dan percaya ini akan memberi ruang kepada rakyat menyatakan bantahan mereka terhadap tindak-tanduk kerajaan pimpinan Tan Sri Abdul Khalid yang sewenang-wenangnya menggunakan hak rakyat untuk kepentingan mereka.
“Selepas mendapat kutipan berkenaan, kita akan hantar bantahan secara rasmi kepada Tan Sri Khalid agar beliau menimbang dan menilai semula keputusan untuk menanggung kos perundangan berkenaan yang disifatkan sebagai satu pembaziran harta rakyat,” katanya.